Monday, September 2, 2013

Kenapa kadar jenayah di Malaysia meningkat?


Kejadian jenayah semakin menjadi-jadi di negara kita, Malaysia dua, tiga tahun kebelakangan ini. Atas faktor apa? Banyak sebab musabab dan penyumbang kepada permasalahan ini. Bijak pandai mungkin telah berbincang, berforum dan bermusyawarah memberikan pendapat masing-masing, bersandarkan kepada statistik kadar jenayah semasa. Tidak cukup dengan bijak pandai, ada juga bodoh bangang yang membuat spekulasi dan andaian sendiri. Tapi, sebenarnya itu semua tidak salah. Sepertimana yang kita belajar dalam mata pelajaran Kajian Tempatan bermula dari derjah 4 dan seterusnya ; Malaysia ialah negara demokrasi. Maka, selaras dengan konsep demokrasi, setiap seorang rakyat berhak untuk memberikan pendapatnya tentang apa jua isu dalam negara.

Ada yang mengatakan peningkatan kadar jenayah terutama yang membabitkan kehilangan jiwa berpunca dari kenaikan kos sara hidup. Rakyat hidup dalam kesempitan. Tidak cukup wang untuk meneruskan kelangsungan hidup – lantas memilih jalan singkat dengan melacurkan nilai dan prinsip diri, terlibat dengan kancah jenayah. Itu yang menyebabkan mereka jadi peragut, pencuri, penyamun, perompak, penyeludup, pengedar dadah dan bermacam 'pe-' yang lain lagi.

Yang lain menyalahkan undang-undang dan sistem perundangan itu sendiri sebagai tidak efektif malahan korup ke akar umbinya. Mereka berhujah, hukum kanun yang dicipta dan direka oleh manusia tidak akan mampu memberi pengajaran kepada pesalah-pesalah ini sehinggakan ada yang menjadi repeat offender bukan sekali, dua kali tetapi berkali-kali hinggakan mereka sudah lali keluar masuk penjara. Bahkan ada yang lebih hebat, terlepas dari dibicarakan atau didakwa – dengan menyogok pihak berkuasa yang korup(*kemungkinan besar korupsi dari pihak ini juga berpunca dari desakan hidup). Jadi, penyelesaiannya adalah kembali kepada hukum Allah – Hudud. Namun, ramai yang tidak bersetuju bahkan ada yang menempelak ianya sebagai ketinggalan zaman. Ada pula yang mengatakan tidak sesuai hukum hudud dilaksanakan dalam suasana masyarakat majmuk pelbagai agama di negara ini. Saya secara peribadinya tidak bersetuju. Namun, tujuan saya menulis bukanlah untuk menghuraikan isu hudud ini. Saya bukan ahlinya.
Saya ada pendapat sendiri.

Bagi saya, peningkatan kadar jenayah terutama yang melibatkan tumbuk-menumbuk, tikam-menikam, tembak-menembak dan bom-mengebom adalah kerana kurangnya penekanan kepada mata pelajaran sastera. Pasti ramai yang akan menjuihkan bibir, mengangkat kening dan mahu close tab bila saya mengatakan demikian. Rileks. Jangan cepat mengenepikan pandangan ini. Saya mohon, tunggu dulu. Biar saya jelaskan sedikit apa logiknya pendapat saya ini.

Mata pelajaran sastera, sepertimana yang kita ketahui, semakin lama semakin dipandang sepi di kalangan pelajar sekolah, milenia ini. Penekanan yang lebih diberikan kepada mata pelajaran teknikal seperti matematik dan cabang-cabang ilmu sains. Saban tahun, pelajar ditekankan untuk mendapat markah yang bagus dalam kedua-dua mata pelajaran ini.

Saya masih ingat, semasa bersekolah dahulu, rakan-rakan saya sering mengadu, ibu bapa mereka akan rasa hampa dan bimbang jika mata pelajaran matematik dan sains tidak dapat A. Bahkan mereka sanggup hantar anak ke kelas tuisyen untuk mendapat keputusan yang lebih baik dalam kedua-dua subjek ini.
Sekitar tahun 2004 atau 2005, isunya bertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran (PNP) matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Kejap-kejap ditukar ke bahasa Inggeris, kemudian Melayu, kemudian Inggeris, kemudian dwi-bahasa. Kasihan...

Nah. Bagaimana pula dengan perkembangan mata pelajaran linguis? Khususnya sastera. Tidak kiralah sastera Melayu atau Inggeris. Saya akui, pembaharuan semestinya ada terutamanya dari segi bahan bacaan dan teksnya. Namun dari segi penghayatan subjek tersebut. Adakah ianya berlaku? Adakah pelajar dapat memahami lantas menghayati karya-karya di dalam buku teks yang diberi? Atau mereka sekadar membeli buku sinopsis yang berlambak di pasaran untuk membolehkan mereka lulus periksa?
Apa pula kaitannya sastera dengan kadar jenayah yang semakin menjadi-jadi ini? Ok. Pertama sekali kita kena tahu, apa itu sastera? Ini saya copy paste bulat-bulat dari laman wikipedia (terima kasih!);

Kesusasteraan merujuk kepada hasil seni yang disampaikan melalui bahasa. Dari segi hurufiahnya, perkataan kesusasteraan bermaksud "kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya." Pada erti kata yang lebih luas, kesusasteraan boleh dimaksudkan sebagai segala pengucapan yang indah-indah, sama ada ia tertulis atau tidak.
Kesusasteraan pada lahiriahnya wujud dalam masyarakat manusia melalui bentuk tulisan dan juga wujud dalam bentuk lisan. Dalam kehidupan sehari-harian, kedua-dua bentuk kesusasteraan sememangnya tidak terpisah daripada kita. Misalnya, kita akan mendengar muzik yang mengandungi lirik lagu yang merupakan hasil sastera. Dan kita sendiri pula akan menggunakan pelbagai peribahasa dan pepatah yang indah-indah yang sebenarnya juga merupakan kesusasteraan.
Pada kesimpulannya, kesusasteraan merupakan sebahagian daripada budaya manusia. Ia adalah ekspresi diri manusia dan juga manifestasi estetik manusia terhadap bahasa yang dipertuturkan oleh mereka sendiri.

Jika boleh saya ambil isi penting dari definisi ini, sastera adalah pengucapan yang indah-indah, ia adalah ekspresi diri manusia.
Lumrah manusia, apabila melihat, mendengar atau membaca perkara yang indah-indah, pastinya ia mahu untuk menggapai keindahan tersebut. Perilakunya akan terikut-ikut dengan perkara indah yang dibayangkannya. Jadi, secara tidak langsung apabila karya sastera diperbanyakkan dan didedahkan secara lebih meluas kepada anak-anak muda, mereka akan lebih terdorong untuk melakukan perkara yang berunsur keindahan dan kebaikan. Ini secara langsung, dapat menghindarkan mereka daripada kegiatan jenayah yang tidak bermoral.

Antara kebaikan membaca, khususnya bahan bacaan sastera ialah pertama, ia dapat meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi kita. Tidak seperti menonton wayang, pengalaman membaca memerlukan pembaca memvisualisasikan apa yang ia baca. Ini sekaligus dapat membentuk daya imaginasi dan kreativiti mereka serta membantu mereka dalam proses membuat keputusan. Kedua, dapat memupuk nilai-nilai moral ke dalam diri pembaca. Ini termasuklah nilai-nilai budaya, rukun negara dan sebagainya. Ketiga, dapat menghabiskan masa dengan aktiviti yang berfaedah. Tabiat membaca juga dapat memberi ilmu dan manfaat kepada golongan yang membaca. Ia dapat membuka minda mereka terhadap sesuatu isu dan masalah-masalah di sekeliling mereka.

Namun begitu, karya-karya sastera tidak akan memberi makna sekiranya tidak dibaca dan tidak dihayati. Justeru, kempen menarik minat membaca dikalangan masyarakat tempatan juga harus diperluaskan. Kajian pada tahun 2005 menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca purata sebanyak 2 buah buku setahun. Jumlah ini sangat rendah jika dibandingkan dengan negara-negara Asia yang lain. Apabila rakyat kurang atau tidak membaca, bagaimana mereka mahu menghayati keindahan yang saya utarakan tadi? Apabila tidak membaca, mungkinkah kadar jenayah akan meningkat? Sudah pasti! Kesan daripada kegagalan rakyat untuk membuka minda dan jiwa mereka terhadap bahan bacaan berunsur sastera akan menyebabkan mereka lebih mudah untuk mengambil jalan singkat dalam membuat sesuatu keputusan.